FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini, mengeluarkan senarai terkini 21 orang dikehendaki termasuk lima penama baharu.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, senarai orang dikehendaki terbaharu itu dikemas kini setiap enam bulan.

Katanya, semua 21 penama terbabit disenaraikan sebagai suspek yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam jenayah rentas sempadan serta penculikan.

"Semua suspek adalah warga negara asing yang disenaraikan sebelum ini termasuk lima suspek terbaharu.

"Lima individu terbabit dikenali Japs@Mujafar Sawadjaan, Mujimmar Sawadjaan @ Rasad, Mundi Sawadjaan, Wahad @ Talib dan Barah Udong @ Elvin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Fuad berkata, mengikut senarai sebelum ini, tiga daripadanya sudah ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan manakala seorang lagi ditangkap dan seorang lagi menyerah diri.

"Manakala 16 individu lain dalam senarai asal masih dikekalkan," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad mengingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa membantu pihak keselamatan terutamanya ESSCOM dalam menyalurkan sebarang maklumat.

Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi ESSCOM ditalian 089- 863181 atau 089-863016 atau menerusi aplikasi WhatsApp ditalin 013-8803585 dan 019-2305909.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 5:01 PM