Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pertaruhan bola sepak Euro 2020 bernilai RM19 juta susulan 40 serbuan yang dilakukan di negeri ini bermula 10 Jun hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan menerusi Ops Saga 8 itu hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta makluman awam.

Katanya, beberapa pasukan khas digerakkan di peringkat negeri dan daerah untuk memantau, mengumpul maklumat risikan dan menjalankan serbuan serta pemeriksaan terhadap kegiatan berkenaan.

"Hasilnya 51 individu yang dipercayai bertindak sebagai ejen atau 'bookie' kepada sindiket pertaruhan itu ditahan dalam 40 serbuan yang dijalankan membabitkan warga tempatan yang berusia antara 18 hingga 54 tahun.

"Jumlah nilai pertaruhan dari sindiket yang ditumpaskan adalah sebanyak RM19.4 juta dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM35,112," katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, serbuan turut merampas 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama; dua unit komputer, empat komputer riba; tiga mesin kira; satu modem; dua router Internet dan dua mesin pencetak.

Katanya, turut dirampas 67 keping sim kad pelbagai jenis; dua jadual perlawanan Euro 2020 dan 15 kertas catatan rekod pertaruhan.

 Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan barang rampasan berkaitan kes pertaruhan judi bola sepak yang dikenali sebagai Op Soga VIII di IPK Johor, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan barang rampasan berkaitan kes pertaruhan judi bola sepak yang dikenali sebagai Op Soga VIII di IPK Johor, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Beliau berkata, ahli sindiket yang menjalankan kegiatan pertaruhan itu berpandukan 20 laman sesawang di luar negara dan aktiviti itu mula beroperasi sejak kejohanan berkenaan bermula pada 12 Jun lalu.

Ayob Khan berkata, sindiket pertaruhan berkenaan menggunakan modus operandi termasuk membabitkan 'ejen master' yang mencipta akaun ejen bagi membolehkan pemain memulakan pertaruhan mereka.

"Ejen Master mempunyai had kredit melebihi RM1 juta, sebelum ejen dilantik mencari pemain yang mahu bertaruh menggunakan aplikasi media sosial sama ada WeChat, WhatsApp atau pun Telegram.

"Pertaruhan dibuat bukan sahaja membabitkan pasukan mana yang menang atau kalah malah turut membabitkan siapa akan dilayangkan kad merah, pasukan mana yang mendapat sepakan penalti atau tendangan pertama selain jumlah jaringan gol," katanya.

Beliau percaya masih ada lagi saki baki anggota sindiket lain yang menjalankan kegiatan pertaruhan yang dijangka lebih rancak menjelang akhir kejohanan Euro 2020.

Katanya, semua 51 yang ditahan direman antara dua hingga empat hari bagi siasatan lanjut mulai 10 Jun sehingga Sabtu lalu.

Ayob Khan berkata, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, selain Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pertaruhan judi bola sepak, boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999 atau 07-2254677.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 1:43 PM