Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan sindiket judi dalam talian didalangi sembilan warga Korea Selatan dengan nilai pertaruhan terkumpul RM87 juta, yang menjadikan kediaman elit di Iskandar Puteri sebagai pusat operasi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan itu hasil operasi dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Katanya, dalam serbuan dilakukan ke atas dua unit kediaman itu seramai 10 suspek ditahan membabitkan sembilan warga Korea Selatan dan seorang lelaki tempatan berusia 29 hingga 66 tahun.

"Siasatan awal mendapati warga Korea berkenaan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menjaga operasi judi dengan 100 peratus kaki judi membabitkan rakyat Korea Selatan.

"Kesemua warga asing itu bekerja dalam dua giliran kerja dalam tempoh 24 jam manakala warga tempatan berperanan sebagai 'penjaga' dengan menguruskan makan minum serta tempat tinggal mereka," katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Siasatan Jenayah Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.

AYOB Khan (tengah) menunjukkan barang rampasan berkaitan kes judi atas talian dalam satu serbuan di Iskandar Puteri ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan (tengah) menunjukkan barang rampasan berkaitan kes judi atas talian dalam satu serbuan di Iskandar Puteri ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket judi dalam talian Korea Selatan itu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi sejak dua tahun lalu.

Katanya, segala transaksi kewangan akan dimasukkan ke akaun bank berpusat di Korea Selatan dengan menawarkan lapan platform judi dalam talian.

"Modus operandi yang digunakan ahli sindiket Korea Selatan ini adalah dengan masuk ke Malaysia sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial sebelum menyewa kediaman di kawasan elit.

"Sindiket ini akan menukar lokasi rumah sewa mereka setiap tiga hingga enam bulan bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa malah Malaysia menjadi pilihan disebabkan mempunyai jaringan Internet pantas serta kawalan keselamatan yang baik.

"Hasil daripada serbuan dilakukan, polis merampas enam set komputer; empat komputer riba, 13 telefon bimbit, lapan kad ATM, 12 keping kad prabayar, sebuah Toyota Hilux, empat modem, empat Ipad, wang Malaysia RM36,168 dan mata wang Korea bernilai 7,779,000 Won (RM28,886) yang kesemuanya berjumlah RM150,000," katanya.

Ayob Khan berkata, sembilan suspek warga Korea Selatan ditahan reman selama 14 hari bermula semalam, manakala suspek warga tempatan pula ditahan reman selama tiga hari.

Katanya, semakan rekod lampau ke atas warga tempatan itu mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah.

"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1953/1963 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 /1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:54 PM