PIHAK penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan SOP PPN dalam Op Samar di sekitar Pulau Pinang sejak kelmarin dan semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
PIHAK penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan SOP PPN dalam Op Samar di sekitar Pulau Pinang sejak kelmarin dan semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengusaha sebuah kedai makan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dikompaun RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) apabila gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan di premis itu.

Kesalahan itu dikesan dalam Op Samar bagi memantau pematuhan SOP terhadap 22 subsektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi semula bagi negeri di Fasa 1, 2 dan 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada kelmarin dan semalam di sekitar Pulau Pinang yang berada di Fasa 2 mendapati pematuhan SOP PPN berada pada tahap memuaskan.

"Bagaimanapun, kami mengeluarkan kompaun RM10,000 serta-merta terhadap pemilik premis kedai makan atas kesalahan gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.

"Tindakan kompaun itu adalah sebagai mesej kepada peniaga mengenai keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam memantau pematuhan SOP PPN di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, tindakan tegas iaitu kompaun sehingga RM10,000 terhadap ketidakpatuhan SOP PPN tanpa kompromi dilakukan sebagai langkah pencegahan.

"Tindakan kompaun adalah untuk memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

"Pada masa sama, kami menggerakkan semua pegawai penguat kuasa untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di seluruh negara.

"Ia bagi memantau pematuhan SOP PPN supaya pembukaan 22 sektor tambahan berkenaan tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik Covid-19 dalam negara," katanya.

Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, sebanyak 737,821 premis diperiksa dan 840 kompaun bernilai RM4.4 juta dikeluarkan sejak 13 Mei 2020 sehingga semalam kerana tidak mematuhi SOP.

"Berdasarkan statistik itu, pematuhan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berada pada tahap amat memuaskan dengan 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan.

"Hanya 0.08 peratus premis dikenakan kompaun, manakala 1.06 peratus premis diberi nasihat dan amaran.

"Pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran adalah usaha serta tanggungjawab bersama bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:34 PM