MOHD Hanizam (kiri) memeriksa pematuhan SOP PPN termasuk sijil digital vaksinasi pelanggan di aplikasi MySejahtera dalam pemeriksaan mengejut di pusat beli-belah di Tebrau, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
MOHD Hanizam (kiri) memeriksa pematuhan SOP PPN termasuk sijil digital vaksinasi pelanggan di aplikasi MySejahtera dalam pemeriksaan mengejut di pusat beli-belah di Tebrau, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peniaga dan pengunjung premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dikompaun RM10,000 serta-merta bagi mengelakkan penularan Covid-19 di negeri ini semakin buruk.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hanizam Kechek, berkata 200 anggota penguat kuasa berpakaian preman dan menyamar sebagai pelanggan dikerahkan memantau pelaksanaan SOP PPN di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk kompaun serta-merta itu untuk memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP demi keselamatan serta kesihatan rakyat negeri ini.

"KPDNHEP Johor ingin memaklumkan tindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000 secara serta-merta terhadap ketidakpatuhan SOP PPN tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan.

"KPDNHEP Johor sudah menggerakkan penguat kuasa berpakaian preman selain menyamar sebagai pelanggan menerusi Ops Samar, bagi memantau pematuhan SOP PPN dalam kalangan peniaga dan pelanggan supaya pembukaan sektor tambahan seperti diumumkan kerajaan, tidak mewujudkan kluster baharu jangkitan Covid-19.

"KPDNHEP Johor komited bersama kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19 dengan meningkatkan lagi pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di bawah Akta 342 bagi memutuskan rantaian penularan di samping memastikan masyarakat tidak mengambil mudah SOP ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hanizam bersama 10 penguat kuasa mengadakan pemeriksaan mengejut di sebuah pusat beli-belah di Tebrau, hari ini.

Pemeriksaan turut dijalankan secara serentak di semua cawangan KPDNHEP Johor membabitkan 200 anggota penguat kuasa di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Mohd Hanizam berkata, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, ia membabitkan nilai kompaun RM129,500.00 sejak pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP Akta 342 yang digerakkan pada 13 Mei tahun lalu sehingga semalam.

"Berdasarkan rekod, sejumlah 65,036 premis diperiksa di negeri ini membabitkan sektor peruncitan, pemborongan dan pengilang oleh KPDNHEP Johor.

"Selain itu, pemeriksaan harian terhadap kedudukan bekalan barang keperluan asas diteruskan bagi memastikan keberadaan barang keperluan asas di pasaran mencukupi pada harga stabil dan munasabah," katanya.

Sabtu lalu, kerajaan negeri Johor memutuskan untuk membenarkan 11 aktiviti ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan premis cuci kereta, beroperasi semula berkuat kuasa Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:58 PM