Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti dalang sindiket penyeludupan kontraban di negara ini yang menyebabkan kehilangan hasil negara sehingga RM5 billion.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat kumpulan sindiket yang aktif melakukan penyeludupan rokok dan arak di negara ini.

"Kumpulan ini sudah pun kita kenal pasti dan maklumat sedang dikumpul untuk kita jalankan satu operasi bersepadu.

"Kawasan utama kegiatan kontraban ini adalah di Pantai Barat Semenanjung di mana kawasan ini mempunyai pantai yang landai," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga mengesan pergerakan baru dilakukan kumpulan sindiket berkenaan untuk menyeludup masuk rokok dan arak ke negara ini.

"Modus operandi terkini aktiviti penyeludupan selepas kerajaan mengehadkan 'transhipmen' rokok di pelabuhan khusus sahaja selain mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport.

"Kumpulan ini menggunakan kapal kargo atau kapal tangki yang diubah suai sebelum dipindahkan ke bot barter trade di lautan antarabangsa," katanya.

Mohd Yusoff menunjukkan gambar kejayaan keberhasilan pengkuatkuasaan PPM bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 pada sidang media di Bukit Aman. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Mohd Yusoff menunjukkan gambar kejayaan keberhasilan pengkuatkuasaan PPM bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 pada sidang media di Bukit Aman. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Harian Metro baru-baru ini mendedahkan, Ben memulakan perniagaan haramnya pada 2012 di Johor sebelum menjadi jutawan segera apabila kerajaan menaikkan kadar cukai rokok pada 2015 hingga rokok sah menjadi mahal.

Harga mahal rokok sah menyebabkan jualan rokok seludup kini menguasai lebih 60 peratus pasaran.

Selepas kerajaan mengetatkan kawalan berkaitan pelabuhan membabitkan transhipment, Ben didakwa kini bergantung kepada laluan laut.

Raja Penyeludup itu didakwa menjadikan perairan antarabangsa berhampiran kawasan Malaysia sebagai lokasi pemindahan rokok seludup dari kapal-kapal yang diubahsuai ke bot barter trade ataupun bot kecil sebelum diseludup barangan itu ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:37 PM