Mohd Amin Jalil


Seremban: Sejumlah 529 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga 20 Jun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menurutnya, semua kes itu dilapor kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Panggilan Talian Kasih, dengan antara punca pergolakan akibat pelbagai isu termasuk tekanan yang disebabkan pendapatan terjejas.

"Setiap aduan yang diterima akan disantuni pegawai kebajikan yang diberi kuasa di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Tugas dilaksanakan ialah melindungi mangsa terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat Jahidah Nordin, 43, di sini yang koma dipercayai akibat dibelasah suami.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

RINA Mohd Harun. Gambar fail NSTP.
RINA Mohd Harun. Gambar fail NSTP.

Mengulas lanjut, Rina berkata, statistik itu juga menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan langkah menanganinya yang membabitkan kerjasama pelbagai.

Katanya, menerusi projek rintis bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), masjid kini dijadikan sebagai pusat transit keganasan rumah tangga dengan JKM boleh mendapatkan perintah perlindungan sementara (interim) dan perintah perlindungan daripada mahkamah buat mangsa.

"Selain itu, kita menyediakan tempat perlindungan, memberikan perkhidmatan kaunseling, khidmat nasihat dan bimbingan serta merujuk kes kepada agensi lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berharap masyarakat menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk membantu golongan memerlukan terutama ketika tempoh PKP dan sebarang kejadian boleh dilapor kepada talian kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang menjaga Jahidah termasuk bantuan bulanan RM500 sebulan dan khidmat kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 2:00 PM