FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Desakan hidup, pendapatan terjejas dan kehilangan pekerjaan antara punca berlaku keganasan rumah tangga direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membabitkan 902 kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, punca peningkatan kes keganasan rumah tangga berikutan kebanyakan antara mereka tertekan apabila terkurung dalam rumah dan pergerakan dihadkan menyebabkan melepaskan tekanan kepada keluarga.

"Berdasarkan Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kertas siasatan berhubung keganasan rumah tangga dibuka.

"Statistik Talian Kasih KPWKM dari Januari hingga Disember 2020 pula merekodkan 2,540 kes keganasan rumah tangga diterima manakala dari Januari lalu sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan," katanya dalam sidang media dalam program pelancaran masjid sebagai pusat transit perlindungan keganasan rumah tangga di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Menteri KPWKM Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Rina berkata, statistik itu menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak.

"Tidak dapat dinafikan masjid adalah sebuah institusi ibadah yang kian berkembang sejajar dengan arus peredaran zaman dan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai sebuah institusi yang membina kemajuan ummah.

"Sejarah tercipta hari ini apabila fungsi masjid bukan sekadar tempat ibadah, pembelajaran dan penyebaran agama Islam malah fungsi masjid diperluaskan dengan menjadikan masjid sebagai pusat transit perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga," katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa tiba di masjid yang dijadikan pusat transit sementara, mereka akan mendapat perintah mahkamah dan dipindahkan ke pusat perlindungan wanita yang digazetkan.

"Mangsa akan ditempatkan dalam tempoh tiga hari, hanya untuk transit dan bukan untuk selama-lamanya sementara dapat perintah ke pusat perlindungan wanita," katanya.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, projek masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 melalui teras sosial, komuniti dan alam sekitar dengan penjenamaan masjid prihatin.

"Tujuannya adalah menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat meliputi keperluan psikososial dan spritual.

"Program ini berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid khususnya golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan kemudahan bilik asrama sedia ada di masjid, keperluan asas diri serta makan minum sepanjang keberadaan mereka di masjid," katanya.

Menurutnya, dua masjid dipilih sebagai perintis program iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) khusus yang disediakan.

"Selain itu, sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada angsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi dan kaunseling dalam usaha membina sebuah masyarakat yang harmoni di samping memperkasakan lagi komuniti melalui sokongan psikososial dan penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran berkaitan isu jenayah rumah tangga dalam masyarakat. "Dua belas masjid berkenaan adalah Masjid Al Imam Al Ghazali di Manjalara Kepong; Masjid Al Qurtubi (Taman Sri Segambut); Masjid Amru Ibn Al Ass (Bandar Baru Sentul); Masjid Salahuddin Al Ayyubi (Taman Melati Setapak); Masjid Al Imam Asy Syafie (Jalan Perkasa Taman Maluri); Masjid Ar Rahimah (Kampung Pandan); Masjid Jameul Ehsan (Setapak); Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah (Taman Sri Rampai); Masjid Al Muqarrabin (Bandar Tasik Selatan); Masjid Az Zubair Ibn Awwam (Batu 3 1/2 Jalan Cheras); Masjid Ar Rahman (Jalan Pantai Baru) dan Masjid Al Ikhlasiah di Pantai Dalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:36 PM