Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) melawat Jahidah Nordin yang masih terlantar di rumah adiknya, Fauziah di Sendayan hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) melawat Jahidah Nordin yang masih terlantar di rumah adiknya, Fauziah di Sendayan hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya akan berusaha sebaik mungkin menjaganya dan berharap kakak dapat pulih sepenuhnya seperti dulu," kata Fauziah Nordin, 40.

Fauziah adalah adik kepada Jahidah Nordin, 43, yang masih dalam proses rawatan selepas koma dan parah dipercayai dipukul suami pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, setakat ini kesihatan kakak sulungnya itu masih dalam keadaan separuh sedar.

Ketika ini, katanya, kakaknya itu tidak menunjukkan sebarang maklum balas setiap kali dipanggil namanya.

"Kami masih tidak dapat mendengar suara atau berkomunikasi dengannya, memang kasihan melihat keadaannya, apatah lagi dia mengandungkan anak sulung yang kini berusia 14 minggu.

"Cuma sedikit lega apabila doktor beritahu anak dalam kandungannya baik.

"Kami sekeluarga akan terus berusaha dan berdoa agar kakak dapat pulih dan bekerja seperti dulu," katanya ketika ditemui selepas kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, di rumahnya di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Fauziah turut berterima kasih di atas kesudian Rina melawat Jahidah dan menyampaikan sumbangan.

Menurutnya, sumbangan wang tunai dan barangan keperluan Jahidah amat bermakna dan meringankan bebannya dalam mengurus dan menjaga kakaknya itu.

"Bantuan itu sangat membantu dan meringankan beban saya. Penjagaan kakak memerlukan kos yang besar juga seperti susu dan peralatan menyedut kahak serta keperluan lain, termasuk lampin pakai buang.

"Dalam sebulan, perbelanjaan mampu mencecah RM4,000. Terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) menteri kerana prihatin dengan kami," katanya yang juga suri rumah manakala suami bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Terdahulu, Rina menyampaikan bantuan Yayasan Kebajikan Negara sebanyak RM1,000 selain barangan keperluan Jahidah.

Keluarga itu juga bakal menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 setiap bulan mulai bulan depan, selain khidmat kaunseling.

Kisah Jahidah yang juga penjawat awam di Johor mendapat perhatian selepas koma dan mengalami kecederaan serius pada kepala dan tengkorak disyaki akibat dipukul suaminya Rosmaini Abd Raof di rumah mereka di Johor Bahru, pada 4 Mei lalu.

Rosmaini yang melarikan diri dan berjaya dikesan polis, sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada 17 Jun lalu atas tuduhan mencederakan isteri mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:52 PM