GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah mulai 1 Julai ini.

Pelaksanaan akad nikah sebelum ini ditunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi jabatan itu, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) saja bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).

Menurutnya, pasangan yang dibenarkan melangsungkan akad nikah adalah yang sudah mendapat tarikh temujanji daripada JAIS dan PAID.

"Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali saja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

"Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pasangan pengantin serta wali juga wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

"Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan.

"Tindakan tegas sewajarnya akan diambil jika terdapat mana-mana individu atau pihak yang didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:29 PM