GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk memberi kelonggaran dalam pelaksanaan upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh Selangor dengan kehadiran dan jumlah temujanji terhad pada satu-satu masa mulai 2 November ini.

Kelonggaran itu diberikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini yang dilanjutkan sehingga 9 November.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran melaksanakan akad nikah tertakluk kepada beberapa syarat iaitu pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari PAID.

"Hanya tiga orang dibenarkan hadir upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

"Hanya lima akad nikah dibenarkan dalam masa satu hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula 9 pagi hingga 4 petang.

"Kebenaran ini diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau pihak perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab pihak-pihak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cadangan upacara akad nikah yang mendapat kebenaran dari Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan diterima untuk dilaksanakan di PAID.

"Temujanji upacara bagi akad nikah bolehlah dibuat dengan menghubungi PAID berkaitan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 11:08 AM