GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah di semua 39 masjid pengurusan di negeri ini mulai 4 Januari.

Jais dalam perkongsian di Facebook (FB) rasminya memaklumkan pelaksanaan majlis berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada beberapa ketetapan.

Antaranya ialah jumlah maksimum majlis akad nikah oleh setiap Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) di masjid pada setiap hari tidak melebihi lima pasangan dan waktu majlis adalah pada jam 9 pagi hingga 5 petang mengikut penjadualan giliran yang perlu dibuat oleh pendaftar atau PPP.

"Majlis akad nikah perlu dilaksanakan di mana-mana atau bahagian yang bersesuaian di masjid, ruang sebagaimana yang diputuskan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah atau Imam Besar.

"Jumlah kehadiran maksimum yang dibenarkan bagi setiap pasangan adalah 20 orang saja (termasuk jurugambar) dan tidak termasuk pendaftar atau PPP serta dua saksi," katanya.

Dalam pada itu, Jais juga melarang kehadiran mana-mana individu dari zon merah luar Selangor dalam majlis akad nikah di masjid.

Katanya, pindaan lokasi majlis akad nikah dari zon merah luar Selangor ke masjid (dalam Selangor) tidak dibenarkan, tetapi pasangan boleh bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dengan kehadiran maksimum tiga orang saja.

"Semua individu yang hadir perlu direkodkan kehadiran mereka, diambil suhu badan, memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan satu meter antara satu sama.

"Pelaksanaan majlis akad nikah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepenuhnya.

"Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga atau Pejabat Agama Islam Daerah," jelasnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 4:16 PM