GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 189 kes direkodkan bagi kes varian baharu virus Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) di negara ini sehingga 22 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 173 kes adalah VOC, manakala 16 kes lagi membabitkan VOI.

"Ini termasuk enam kes VOC SARSCoV-2 yang direkodkan bagi tempoh tiga hari iaitu 20 hingga 22 Jun lalu membabitkan lima kes varian Beta (B.1.351) dan satu kes varian Delta (B.1.617.2).

"Daripada enam kes VOC berkenaan, dua kes dilaporkan di Pulau Pinang dan masing masing satu kes di Sabah, Kedah, Perlis serta Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 30 kluster baharu Covid-19 hari ini, yang dilaporkan di Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Johor, Kedah, Sabah, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Kelantan.

"Daripada jumlah itu, 20 kluster yang dilaporkan membabitkan tempat kerja, manakala sembilan lagi kluster berkaitan komuniti dan satu kluster daripada kumpulan berisiko tinggi.

"Sembilan kluster dilaporkan di Selangor, Negeri Sembilan (tiga); Sarawak (dua); Johor (tiga); Kedah (tiga); Sabah (dua); Kuala Lumpur (empat); Perak (satu), Pahang (satu) dan Kelantan (dua)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 8:08 PM