ANAK orca (sejenis ikan lumba-lumba) di perairan New Zealand. FOTO AFP
ANAK orca (sejenis ikan lumba-lumba) di perairan New Zealand. FOTO AFP
Agensi

Rabat: Sebuah kapal layar karam di perairan Maghribi di Selat Gibraltar, selepas dirempuh orca iaitu sejenis ikan lumba-lumba, yang tidak diketahui jumlahnya, Ahad lalu, lapor BBC,

Orca adalah spesies terbesar dalam keluarga ikan lumba-lumba.

Perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol berkata, dua orang di atas kapal Alboran Cognac itu, diselamatkan oleh kapal tangki minyak yang belayar di situ.

Ia insiden terbaharu dalam membabitkan rempuhan orca di Selat Gibraltar, sejak empat tahun lalu.

Pasukan saintis juga tidak pasti mengenai punca sebenar kejadian, tetapi percaya mamalia itu mungkin menunjukkan tingkah laku peniru atau suka bermain.

Perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol berkata, kedua-dua penumpang itu melaporkan berasa hentakan mengejut pada badan kapal dan kemudi, menyebabkan air meresap ke dalam kapal.

Pasangan itu segera memaklumkan kejadian perkhidmatan kecemasan sebelum mereka diselamatkan oleh kapal tangki minyak berhampiran. Kapal itu kemudian membawa mereka ke Gibraltar.

Kapal layar itu pula dibiarkan hanyut dan akhirnya karam.

Serangan orca di Selat Gibraltar salah satu laluan air tersibuk di dunia, dengan kira-kira 300 kapal menyeberangi setiap hari dan di luar pantai Atlantik dekat Portugal dan utara-barat Sepanyol, menjadi semakin biasa sejak empat tahun lalu.

Pakar percaya ia membabitkan subpopulasi kira-kira 15 ikan lumba-lumba yang diberi nama Gladis.

Kumpulan penyelidikan GTOA, yang menjejaki populasi subspesies ikan lumba-lumba Iberia, sudah mendokumentasikan hampir 700 insiden membabitkan spesies itu, sejak serangan pertama kali dilaporkan pada Mei 2020.

Pakar percaya serangan bermula selepas satu atau dua ikan lumba-lumba, yang juga dikenali sebagai 'paus pembunuh', mula berinteraksi dan merosakkan kapal layar kecil pada bulan itu.

Satu teori utama yang disebarkan di media sosial adalah bahawa orca itu sedang membalas dendam untuk 'White Gladis' iaitu orca yang kononnya dilanggar bot.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 1:04 PM