PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Beringin Taman Seri Gombak. FOTO ROHANIS SHUKRI.
PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Beringin Taman Seri Gombak. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 22 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dalam kategori varian membimbangkan (VOC) dikesan bagi tempoh 11 Jun hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 22 kes varian baharu berdasarkan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan secara berterusan.

Menurutnya, 14 kes adalah varian Beta (B.1.351); dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2).

"Sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dilaporkan adalah masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah, dan Terengganu, dua kes di Kedah, dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.

"Manakala lapan kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 183 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 167 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

"VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu 137 kes adalah varian Beta (B.1.351) (kesemua kes jangkitan tempatan)," katanya

Beliau berkata, sebanyak 21 kes varian Delta (B.1.617.2) (12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import) serta sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import).

"VOI yang dilaporkan pula adalah seperti berikut, iaitu 12 kes adalah varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan) tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) (kesemua kes import) dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) (kes import).

"KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2," katanya.

Beliau berkata, KKM juga akan memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini di dalam komuniti.

"Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:48 PM