VIRUS SARS-CoV-2 di bawah electromikroskop. FOTO ihsan Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir
VIRUS SARS-CoV-2 di bawah electromikroskop. FOTO ihsan Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir
Redzuan Muharam

[email protected].

Kuala Lumpur: Sebanyak 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dilaporkan sejak 3 Jun hingga kelmarin hasil survelan genomik dijalankan berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua yang di kesan adalah varian membimbangkan (VOC) membabitkan 19 kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2).

Katanya, varian Beta dilaporkan membabitkan lapan kes di Selangor, tiga di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka, dan Kedah serta satu kes di Perak dan Perlis.

Menurutnya, dua kes varian Delta pula masing-masing dilaporkan di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 161 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan, 145 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

"VOC yang dilaporkan membabitkan 123 kes varian Beta (semua kes jangkitan tempatan), 13 kes varian Delta (lapan kes jangkitan import dan tiga kes jangkitan tempatan) dan sembilan kes varian Alpha (B.1.1.7) (lima kes jangkitan impot dan 4 kes jangkitan tempatan)," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, VOI yang dilaporkan pula membabitkan12 kes varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan), tiga kes varian Eta (B.1.525) (kesemua kes jangkitan import) dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) (jangkitan import).

Beliau berkata, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian di dalam komuniti.

"Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara membentuk imuniti kelompok.

"Ini juga salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:43 PM