GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak 172 kes baharu Variant of Concern (VOC) yang dilaporkan dari 25 Disember lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 170 kes baharu varian Delta dan dua kes baharu varian Omicron.

"Sebanyak 107 kes baharu membabitkan varian Delta dikenal pasti oleh The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC), manakala Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) mengenal pasti 40 kes baharu membabitkan varian Delta.

"Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI) pula mengenal pasti 23 kes baharu varian Delta dan Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-Unimas) mengenal pasti dua kes baharu varian Omicron," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,480 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 5,460 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan sehingga kini, terdapat sebanyak 5,151 kes varian Delta; 233 kes varian Beta; 14 kes varian Alpha; dan 64 kes varian Omicron bagi VOC.

"Bagi kes-kes VOI pula, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:22 PM