Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan peningkatan dalam 'QS World University Rankings (QSWUR) 2022' apabila disenarai pada kedudukan antara 511 hingga 520 berbanding di kelompok 531 hingga 540 tahun lalu.

Ia sekali gus menjadikan UUM satu-satunya universiti awam di Malaysia mencatatkan peningkatan dalam senarai kedudukan QSWUR pada keputusan yang diumumkan semalam.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pencapaian itu membuktikan UUM terus konsisten mempamerkan peningkatan terutama bagi tempoh tiga tahun sejak 2019.

"Antara langkah diambil adalah meningkatkan kualiti kerja, agenda korporat, hubungan industri, kempen penjenamaan serta memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan kakitangan dan penuntut.

"Peningkatan kedudukan ini adalah pencapaian sangat signifikan dan bermakna bagi semua warga UUM dan negara. Ia dicapai hasil kerjasama serta komitmen semua pihak di UUM yang mempunyai satu objektif iaitu menjadi antara terbaik di dunia selain gah di Asia," katanya pada kenyataan.

Ahmad Bashawir berkata, ia juga kejayaan berganda buat UUM selepas universiti itu turut menunjukkan lonjakan besar dalam 'Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021' yang diumumkan baru-baru ini.

Khamis lalu, UUM mempamerkan kecemerlangan apabila disenarai di kedudukan ke-155 dalam THE Asia University Rankings 2021 berbanding tahun lalu, di kelompok 251 hingga 300.

THE Asia University Rankings 2021 menyenaraikan 551 universiti dari 30 negara Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:25 PM