Redzuan Muharam

Amman: Misi Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian Jordan, di sini semalam.

Empat kem terbabit adalah Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa'a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian itu disampaikan Ketua Misi HM4P merangkap Pengerusi BKUM, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Kem Pelarian Palestin Al-Baqa'a.

Sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian mencukupi untuk tempoh sebulan bagi sesebuah keluarga pelarian itu diagihkan dengan kerjasama Lajnah Zakat Jordan.

Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu adalah wakil Lajnah Zakat Jordan di Al-Baqa'a, Hashim Muhammad Al-Titi dan Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Kem Pelarian Palestin Al-Baqa'a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 pelarian Palestin yang majoritinya melarikan diri dari wilayah konflik itu pada 1948 selepas pembentukan Israel.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berharap sumbangan itu akan meringankan beban pelarian Palestin termasuk ibu tunggal dan warga emasb ketika berdepan kesusahan hidup akibat pandemik Covid-19.

"Kita agihkan 1,000 pek makanan dan barangan keperluan ini di empat kem pelarian sasaran.

"Oleh kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 maka proses agihan hanya dilakukan di Kem Al-Baqa'a dan bantuan selebihnya akan disalurkan Lajnah Zakat Jordan kepada kesemua 1,000 keluarga pelarian Palestin yang dibantu," katanya.

ANTARA bekalan makanan dan keperluan harian yang disalurkan ketika misi HM4P. FOTO ihsan HM4P BKUM
ANTARA bekalan makanan dan keperluan harian yang disalurkan ketika misi HM4P. FOTO ihsan HM4P BKUM

Sementara itu, pelarian Palestin yang juga ibu tunggal, Nazwa al-Anali dari Khalel, 50, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan UMNO di atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelarian Palestin di Jordan.

"Semoga bantuan ini bermanfaat untuk semua kerana keadaan sekarang tidak baik," katanya yang dilahirkan di Kem Al-Baqa'a pada 1971 selepas ibu bapanya diusir dari tanah Palestin pada 1948 oleh rejim Israel.

Statistik Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan terdapat lebih dua juta pelarianPalestin berdaftar dengan badan dunia itu dan menerima bantuan langsung darinya untuk kelangsungan hidup.

Abdul Azeez yang mengetuai lima anggota HM4P tiba di Jordan sejak Sabtu lalu sebelum bertolak ke Kaherah hari ini untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir, yang dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu itu bertujuan menzahirkan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:29 PM