Abdul Azeez Abdul.
Abdul Azeez Abdul.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pengerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak yang mensabotaj atau menghalang niat anggota misi untuk memasuki Gaza.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) berkata, perancangan HM4P terpaksa ditangguhkan berikutan faktor keselamatan yang masih tidak menentu di Gaza.

Katanya, kehadiran HM4P memang dinanti-nanti dan diingati oleh rakyat Gaza kerana ini bukan kali pertama ia ditangguhkan.

"Tak ada mana-mana pihak sabotaj, tak ada yang blok dan tak ada mana-mana pihak yang tak benarkan HM4P masuk ke Gaza.

"Kita juga tidak pernah keluarkan kenyataan yang Wisma Putra enggan bantu kita kerana Wisma Putra yang banyak memudahkan urusan kita khususnya kedutaan Malaysia di Mesir.

"Misi ini adalah untuk semua, merentas sempadan politik dan yang penting Umno terus istiqamah dan terus membawa panji atas nama negara tanpa sempadan politik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa program bertajuk Misi HM4P: Kisah Sebenar yang disiarkan secara langsung di Facebook Umno Online.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BKUM yang juga MKT UMNO merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dengan moderatornya, Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid yang juga menyertai 17 anggota HM4P.

Selain itu, Abdul Azeez berkata, HM4P mempunyai kerjasama dan jalinan yang erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, malah mereka mengalu-alukan gerak kerja bersama-sama dengan mereka.

"Sekarang kami tahu ada hikmahnya misi ke Gaza tertangguh kerana mengikut jadual gerak kerja kita di Gaza iaitu pada hari terakhir kita akan berada di pasar Zawiya dan kebetulannya pada waktu itu telah berlaku satu letupan yang menyebabkan kematian dan ada kecederaan kecederaan yang amat serius.

"Kita juga sudah sediakan kotak makanan untuk 5,000 keluarga dan kini kita dimaklumkan sebahagian kotak ini sudah diagihkan untuk rakyat di Gaza," katanya.

Beliau turut mengakui mengakui misi kali ini lebih sukar biarpun sudah tiga kali melaksanakan misi di Gaza.

"Antaranya kerana pandemik Covid-19, selain kerajaan Mesir tidak mahu apa-apa berlaku kepada sukarelawan misi bantuan dari Malaysia.

"Inilah yang berulang kali mereka nyatakan iaitu mereka mahu kita semua selamat," katanya.

Menurutnya, terdapat tiga kementerian terbabit dalam memberikan kebenaran kepada HM4P membuat misi kemanusiaan di Palestin iaitu Menteri Luar Negeri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menyentuh berkaitan isu membabitkan Ustaz Ebit Lew, Caprice dan Nadir Al-Nuri, beliau berkata:

"Kita berbangga dengan Ustaz Ebit Lew yang dapat masuk ke Gaza, Alhamdulillah... Insya Allah kita juga akan ke sana tak lama lagi dan kita mohon semua doakan.

"Kita juga doakan, Ustaz Ebit Lew, saudara Nadir dan anakanda Caprice agar Allah berikan taufik dan hidayah. Kita raikan pendapat mereka kerana kita pun tak tahu apa yang berlaku.

"Mereka yang berkomunikasi dan berinteraksi antara mereka tapi apa yang saya nak kita sentiasa mendoakan agar kita bersatu dalam satu saf kerana niat kita adalah membantu rakyat Palestin di seluruh dunia. Kita tak nak ada perpecahan di antara kita," katanya.

Menurutnya, BKUM sendiri sudah melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan hingga ke 40 negara dengan pelbagai cabaran.

"Kita melangkau sempadan politik dengan 40 misi yang sudah kita lakukan dan ini adalah misi ke 41," katanya.

Dilaporkan, 65 peratus misi HM4P sudah berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan yang antaranya menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa bagi membaikpulih, menambah baik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan masjid terbabit akibat musnah selepas diserang Israel selain sumbangan kemanusiaan kepada pelarian Palestin.

Antara tujuan misi HM4P ialah menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas selepas diserang tentera Israel Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 11:22 AM