Wartawan bersama sukarelawan Aman Palestin dan penduduk tempatan bergambar di belakang runtuhan bangunan di Kem Khan Eisheh. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi dan ihsan Aman Palestin
Wartawan bersama sukarelawan Aman Palestin dan penduduk tempatan bergambar di belakang runtuhan bangunan di Kem Khan Eisheh. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi dan ihsan Aman Palestin
Muhaamad Hafis Nawawi


Damsyik: Sebanyak 1,300 kotak barangan keperluan dihantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin kepada pelarian di Kem Khan Eisheh di Syria sempena Misi Kemanusiaan Syria ke-10, hari ini.

Sukarelawan diketuai Pengarah Misi Kemanusiaan Syria ke-10, Anas Abdul Wahab selamat tiba di Beirut, Lubnan 6.15 pagi (11.15 waktu Malaysia) semalam dan dibawa ke Syria yang mengambil masa 90 minit.

Anas berkata, misi kali ini bertujuan membantu mangsa pelarian Palestin dan Syria yang terjejas akibat peperangan.

Menurutnya, bantuan bernilai sebanyak RM500,000 disediakan bagi misi kali ini bagi membantu mangsa peperangan meneruskan hidup terutama sebagai persiapan menjelang Ramadan.

“Kita akan menyerahkan 1,300 kotak barangan keperluan kepada 1,300 keluarga Palestin dan Syria yang berada di Kem Khan Eisheh.

“Diharapkan pemberian bantuan ini dapat menceriakan mereka dalam membuat persiapan menyambut Ramadan,” katanya.

Menurutnya, NGO Alkhayriah turut membantu dalam misi itu.

“Kami dimaklumkan kem yang menempatkan pelarian Palestin sebelum ini terkepung selama empat bulan akibat peperangan yang berlaku.

“Ketika empat bulan terkepung itu, kami difahamkan mereka terpaksa bergantung hidup dengan bekalan makanan yang disimpan hasil bercucuk tanam,” katanya.

Beliau berkata, sebelum peperangan tercetus di Syria, pelarian Palestin yang ada di sini seramai 10,000 keluarga namun kini tinggal kira-kira 2,000 keluarga saja.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada pelarian Palestin dan Syria menerusi Aman Palestin boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam 12029010047880, Maybank 562263010787, Bank Muamalat 12070005133717 dan RHB Islamic Bank, 21245760004907.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:53 PM