Tinjauan keadaan jalan lenggang disekitar Kuala Lumpur ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung hingga 28 Jun 2021. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Tinjauan keadaan jalan lenggang disekitar Kuala Lumpur ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung hingga 28 Jun 2021. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah satu pelan dinamik bersesuaian keadaan semasa untuk secara berfasa keluar daripada krisis Covid-19 yang turut memberi kesan teruk ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tanpa gambaran yang jelas mengenai hala tuju negara untuk keluar daripada pandemik akan menyebabkan syarikat akan menangguhkan keputusan pelaburan, menghentikan operasi dan melepaskan pekerja mereka.

Menurutnya, PPN menekankan bahawa ada sinar di hujung terowong dengan menggunakan indikator jelas dan mudah difahami semua lapisan masyarakat.

"Pelan pemulihan negara membabitkan peralihan dari satu fasa kepada fasa yang seterusnya berdasarkan pencapaian nilai ambang.

"Namun begitu timeline atau jangka masa fasa berdasarkan pencapaian nilai ambang bagi setiap fasa seiring pencapaian pelaksanaan vaksinasi.

"Dianggarkan kerugian ekonomi semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) adalah RM1 bilion sehari. Kerajaan tidak mampu untuk buat PKP sepenuhnya untuk jangka masa lama," katanya pada sidang media maya menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Sidang media itu berhubung Pelan Pemulihan Negara - vaksinasi kunci kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi disertai bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Tengku Zafrul berkata, selanjutnya Fasa 2 bermula selepas mencapai nilai ambang iaitu kes harian menurun di bawah 4,000 kes, tahap penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak di tahap kritikal serta vaksinasi mencapai 10 peratus penduduk negara.

Menurutnya, perbezaan utama antara Fasa 1 dan Fasa 2 ialah memberikan kapasiti fizikal meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus untuk sektor dibenarkan beroperasi.

"Melihat ke Fasa 3, ia dibuat selepas mencapai tahap vaksinasi 40 peratus, ini bermaksud lengkap dua dos bukannya baru satu dos serta penggunaan ICU di tahap selamat manakala kes harian di bawah 2,000.

"Fasa ini termasuk pembukaan sekolah dan kebenaran melawat atau ziarah rumah secara terhad.

"Kemudian peralihan daripada Fasa 3 ke Fasa 4, ini fasa terakhir. Ia membabitkan pembukaan menyeluruh aktiviti sosial dan ekonomi, selepas mencapai tahap vaksinasi 60 peratus, kes kurang 500 dan katil ICU pada paras mencukupi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan faham rakyat resah memikirkan nasib meneruskan kelangsungan hidup susulan pelaksanaan PKP 3.0.

Katanya, ia memberi kesan perbelanjaan keluarga dan anak, keupayaan untuk membayar hutang dan menampung kos sara hidup.

"Peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan dan kehidupan lebih baik semuanya didengari dan diambil maklum kerajaan.

"Oleh itu bagi Fasa 1, kerajaan sudah lancarkan pakej bantuan PEMERKASA+ untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam menghadapi PKP 3.0.

"Saya ingin tekankan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi dan memperincikan langkah tambahan sebagai komitmen berterusan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi bagi tempoh mencabar pada bulan yang akan datang," katanya.

Apa pun, katanya, walaupun kadar vaksinasi aspek penting pada pemulihan ekonomi, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kes Covid-19 turun melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, kita dapat nikmati semula kehidupan harian seperti biasa sebelum pandemik Covid-19 melanda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 8:49 AM