GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah satu pelan yang dinamik bersesuaian keadaan semasa untuk secara berfasa keluar daripada krisis Covid-19 yang turut memberi kesan teruk ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tanpa gambaran yang jelas mengenai hala tuju negara untuk keluar daripada pandemik akan menyebabkan syarikat akan menangguhkan keputusan pelaburan, menghentikan operasi dan melepaskan pekerja mereka.

Menurutnya, PPN menekankan bahawa ada sinar di hujung terowong dengan menggunakan indikator jelas dan mudah difahami semua lapisan masyarakat.

"Pelan pemulihan negara membabitkan peralihan dari satu fasa kepada fasa yang seterusnya berdasarkan pencapaian nilai ambang.

"Namun begitu 'timeline' atau jangka masa fasa adalah berdasarkan pencapaian nilai ambang bagi setiap fasa seiring dengan pencapaian pelaksanaan vaksinasi.

"Dianggarkan kerugian ekonomi semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) adalah RM1 bilion sehari. Kerajaan tidak mampu untuk buat PKP sepenuhnya untuk jangka masa lama," katanya dalam sidang media maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Sidang media itu berhubung Pelan Pemulihan Negara - vaksinasi kunci kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi disertai bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Tengku Zafrul berkata, selanjutnya Fasa 2 akan bermula selepas mencapai nilai ambang iaitu kes harian menurun di bawah 4,000 kes, tahap penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak lagi di tahap kritikal serta vaksinasi sudah mencapai 10 peratus penduduk negara.

Menurutnya, perbezaan utama di antara Fasa 1 dan Fasa 2 ialah memberikan kapasiti fizikal meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus untuk sektor yang dibenarkan beroperasi.

"Melihat ke Fasa 3 pula, ia dibuat selepas mencapai tahap vaksinasi 40 peratus, ini bermaksud lengkap dua dos bukannya baru hanya satu dos serta penggunaan ICU di tahap selamat manakala kes harian di bawah 2,000.

"Fasa ini termasuk pembukaan sekolah dan kebenaran melawat atau ziarah rumah secara terhad.

"Kemudian peralihan daripada Fasa 3 ke Fasa 4, ini fasa terakhir. Membabitkan pembukaan menyeluruh aktiviti sosial dan ekonomi, selepas mencapai tahap vaksinasi 60 peratus, kes kurang 500 dan katil ICU pada paras mencukupi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan faham rakyat resah memikirkan nasib untuk meneruskan kelangsungan hidup susulan pelaksanaan PKP 3.0.

Katanya, ia memberi kesan perbelanjaan keluarga dan anak-anak, keupayaan untuk membayar hutang dan menampung kos sara hidup.

"Peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih baik semuanya didengari dan diambil maklum kerajaan.

"Oleh itu bagi Fasa 1, kerajaan sudah pun memperkenalkan pakej bantuan Pemerkasa + untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam menghadapi PKP 3.0.

"Saya ingin menekankan bahawa Kementerian Kewangan sedang memperhalusi dan memperincikan langkah tambahan sebagai komitmen berterusan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi bagi tempoh mencabar pada bulan-bulan yang akan datang," katanya.

Apa pun, katanya, walaupun kadar vaksinasi adalah aspek penting pada pemulihan ekonomi, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kes Covid-19 turun melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang akan melindungi diri, keluarga dan komuniti.

"Insha-Allah dengan kerjasama dan ketabahan semua pihak, kita akan dapat menikmati semula kehidupan harian seperti biasa sebelum pandemik Covid-19 melanda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 8:36 PM