HAZANI (tiga dari kiri) ketika menerima sumbangan daripada Persatuan Ahli-Ahli Bersekutu dan Kehormat Jabatan Sukarelawan (RELA) Sabah di IPK, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
HAZANI (tiga dari kiri) ketika menerima sumbangan daripada Persatuan Ahli-Ahli Bersekutu dan Kehormat Jabatan Sukarelawan (RELA) Sabah di IPK, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Sabah akan menambah keanggotaan untuk penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, penambahan kawasan yang diklasifikasikan dengan PKPD juga jelas memerlukan penambahan anggota polis.

Katanya, ia bagi memastikan kawalan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dipantau dari semasa ke semasa.

"Setakat ini seramai 4,700 pegawai serta anggota polis ditugaskan di 74 kawasan PKPD serta 169 SJR.

"Selain itu, polis juga perlu menempatkan pasukan di 10 lokasi untuk Ops Benteng. Oleh demikian, polis terpaksa menambah keanggotaan secara keseluruhan di semua lokasi operasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima 24,000 pelitup muka yang disumbangkan Persatuan Ahli-Ahli Bersekutu dan Kehormat Jabatan Sukarelawan (Rela) Malaysia Negeri Sabah di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, polis sudah mengeluarkan 1,300 kompaun kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas MySejahtera semasa berada di dalam premis.

"Bagaimanapun tahap pematuhan rakyat Sabah secara keseluruhan berada pada tahap baik dan diharapkan masyarakat lebih peka untuk bersama-sama membendung penularan virus berbahaya ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan pelitup muka itu, Hazani berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, ia adalah untuk kegunaan petugas barisan hadapan di lapangan yang berdepan risiko jangkitan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan berbentuk peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk alat pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada pelbagai pihak berikutan kita mengalami kekurangan peralatan terbabit di lapangan.

"Setiap pegawai serta anggota kita adalah diwajibkan untuk memakai PPE yang lengkap termasuk sarung tangan semasa bertugas di lapangan berikutan mereka terdedah secara langsung kepada orang ramai semasa penugasan serta pemeriksaan dokumen," katanya.

Hazani berkata, sumbangan kelengkapan ini akan membantu melancarkan lagi penugasan pasukan polis dan petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 2:39 PM