Juwan Riduan


Penampang: Polis Sabah akan mencadangkan kelonggaran berhubung perjalanan melebihi radius 10 kilometer (km) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu akan dicadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bencana negeri untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, cadangan itu perlu memandangkan jarak antara daerah di Sabah amat luas dan beberapa daerah pedalaman terletak jauh dari kawasan untuk mendapatkan bekalan.

"Permohonan kelonggaran ini akan diutarakan kepada jawatankuasa bencana negeri.

"Sebagai contoh, penduduk Sabindo, di sini, terpaksa turun ke Putatan untuk mendapatkan bekalan berbanding perjalanan lebih jauh ke pekan Papar.

"Begitu juga dengan penduduk di kawasan Tongod, yang terpaksa merentasi daerah ke Telupid untuk mendapatkan bekalan makanan," katanya ketika ditemui media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Penampang-Papar Lama, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, untuk pengesahan, orang awam boleh membawa bukti tempat tinggal seperti bil air atau bil elektrik untuk ditunjukkan ketika pemeriksaan SJR.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 53 SJR diwujudkan sepanjang penguatkuasaan PKP di seluruh Sabah.

Beliau berkata, operasi dijalankan itu akan membabitkan 5,000 petugas keselamatan yang diketuai polis bersama pasukan keselamatan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Semua SJR berkenaan diadakan di beberapa laluan strategik membabitkan jalan utama rentas daerah di negeri ini bagi memastikan semua SOP ditetapkan dipatuhi orang ramai.

ANGGOTA PDRM melakukan SJR di Jalan Penampang-Papar Lama, pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0 di Sabah bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
ANGGOTA PDRM melakukan SJR di Jalan Penampang-Papar Lama, pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0 di Sabah bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini. FOTO Malai Rosmah Tuah

"Selain itu, 260 pasukan pemantau pematuhan SOP dikerah melakukan pemantauan terutama di lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah dan kawasan pantai.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat perlanggaran SOP sepanjang pelaksanaan PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 4:33 PM