MUHAMMAD Anas menenangkan pelatih PDK yang juga penghidap sindrom Down, Amal Ab Malim sebelum diberi suntikan vaksin. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Anas menenangkan pelatih PDK yang juga penghidap sindrom Down, Amal Ab Malim sebelum diberi suntikan vaksin. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang pemuda yang berkhidmat sebagai petugas program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) memikul tanggungjawab menenangkan 25 'anak istimewa' di bawah kelolaannya untuk menerima vaksinasi di PDK Nur Ilham, Tendong di sini, semalam.

Muhammad Anas Safwan Madzalan, 25, memulakan tugas seawal jam 7.45 pagi, bagi memastikan semua pelajar istimewanya disambut dengan suasana gembira sebelum menerima suntikan vaksin.

Kebanyakan pelajar terbabit yang terdiri daripada penghidap sindrom Down, autisme dan masalah pembelajaran berusia 18 sehingga 35 tahun, ditenangkan Muhammad Anas bersama tiga lagi rakan setugas termasuk seorang penyelia.

"Kebanyakan daripada mereka menerima suntikan vaksin dengan baik tanpa rasa takut namun ada segelintir yang perlu ditenangkan terlebih dahulu kerana mula menangis apabila melihat jarum dipegang petugas kesihatan.

"Dalam situasi sebegini, kami sebagai 'guru' yang paling sesuai untuk memujuk kerana mereka lebih selesa untuk mengadu dan menerima nasihat supaya kuat serta berani mengambil vaksinasi demi keselamatan diri.

"Malah, sebelum hadir ke program ini, kami juga bertanggungjawab menelefon bagi meyakinkan setiap keluarga untuk membawa anak mereka ke program vaksinasi," katanya ketika ditemui di Program Outreach Vaksinansi Covid-19 di PDK Nur Ilham, Tendong di sini, semalam.

Muhammad Anas yang dikenali sebagai Cikgu Anas mengakui terdapat juga keluarga yang pada awalnya menolak untuk anak istimewa mereka diberi suntikan vaksin namun selepas mendengar pencerahan daripadanya mereka akur demi keselamatan anak istimewa terbabit.

MUHAMMAD Anas  (kiri) bersama sebahagian daripada pelatih PDK Nur Ilham, Tendong  yang menerima suntikan vaksinasi, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Anas (kiri) bersama sebahagian daripada pelatih PDK Nur Ilham, Tendong yang menerima suntikan vaksinasi, semalam. FOTO Syaherah Mustafa

"Saya sangat gembira apabila melihat kesemua pelajar istimewa ini akhirnya menerima vaksinasi kerana umum mengetahui, mereka adalah golongan yang memiliki antobodi yang lemah untuk berhadapan dengan wabak ini.

"Ada yang datang memeluk saya sejurus menerima vaksinasi kerana mangadu rasa sakit namun selepas ditenangkan mereka kembali senyum dan pulang dengan gembira," katanya yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai petugas program pemulihan dalam komuniti (PDK).

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas Dr Najihah Mahfuzah Zakria berkata, terdapat empat PDK di daerah Pasir Mas yang terbabit dengan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

"Empat lokasi berkenaan iaitu PDK Kasturi, PDK Suria Mas, PDK Syakirin dan PDK Nur Ilham, di sini, yang mana kita sasarkan seramai 200 penerima terdiri daripada pelatih (OKU), pengajar dan penjaga yang menerima vaksinasi.

"Keutamaan diberikan kepada golongan ini kerana berisiko tinggi mendapat jangkitan, selain cenderung kepada komplikasi sekiranya dijangkiti disebabkan oleh limitasi keupayaan yang dialami dan penting untuk mewujudkan safe bubble dalam kalangan mereka.

"Golongan ini divaksinkan bagi memastikan terbentuknya perlindungan dan seterusnya bagi mencapai imuniti kelompok di setiap kawasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:15 AM