FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemukakan senarai nama seramai 68,003 kumpulan sasar bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kementerian itu, dalam satu kenyataan media, berkata senarai kumpulan itu membabitkan 48,564 warga emas dan 19,439 Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, ia terdiri mereka yang berdaftar untuk menerima suntikan vaksin fasa kedua melalui PICK.

"Warga emas yang bakal menerima suntikan itu membabitkan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan penghuni institusi-institusi seliaan KPWKM.

"Bagi golongan OKU pula, mereka terdiri pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

"KPWKM juga menjalin hubungan strategik secara berterusan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) bagi memastikan kumpulan sasar kementerian tidak tertinggal dalam pemberian vaksinasi," katanya.

Sehingga kini, enam institusi bawah JKM sudah diberikan tarikh oleh KKM bagi menerima vaksinasi bermula 5 Mei lalu.

Kenyataan itu menyebut, sebagai ahli kepada Jawatankuasa Khas Vaksin, KPWKM membuat permohonan kepada Mosti supaya mengasingkan 40,000 dos vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada kumpulan sasar.

Dalam perkembangan lain, KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM akan mengadakan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Covid-19 dari semasa ke semasa di 382 Pusat Jagaan Warga Emas dan 196 Pusat Jagaan OKU yang berdaftar bawah jabatan itu.

Katanya, sehingga 11 Mei lalu, pemantauan dilaksanakan di 404 pusat jagaan selain kementerian menasihatkan seluruh kumpulan sasar memberi kerjasama sepenuhnya bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan program vaksinasi di negara ini dilaksanakan dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:50 PM