SUSPEK ditahan polis selepas mengamuk dan mengugut bunuh ibunya. FOTO ihsan PDRM
SUSPEK ditahan polis selepas mengamuk dan mengugut bunuh ibunya. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Beaufort: Akibat pengaruh dadah, seorang lelaki bukan sahaja mahu memukul ahli keluarganya, malah turut tergamak mengugut bunuh ibunya di Membakut, di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sebaik tiba bapa suspek memberitahu anaknya berusia 28 tahun mengamuk dan mahu memukul semua orang yang berada di dalam rumah.

"Suspek turut mengugut hendak membunuh ibunya sendiri. Lanjutan itu anggota polis kemudian masuk ke dalam rumah dan sebaik memperkenalkan lalu berlaku pergelutan.

"Tetapi suspek berjaya ditenangkan dengan bantuan ahli keluarga sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek dibawa ke Balai Polis Membakut untuk siasatan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

"Lelaki itu disyaki mengamuk kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 3:44 PM