Suspek berjaya ditahan hari ini selepas tiga hari cuba melarikan diri.
Suspek berjaya ditahan hari ini selepas tiga hari cuba melarikan diri.
Juwan Riduan


Beaufort: Selepas tiga hari melarikan diri, seorang lelaki yang didakwa memukul dan menampar isteri serta anak lelakinya berusia setahun akhirnya ditahan polis hari ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 30, Kimanis di sini.

"Anggota polis berjaya mengesan dan menangkap suspek selepas tiga hari dia melarikan diri. Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah methamphetamine," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.

Rabu lalu, suspek dikatakan memukul dan menampar isterinya berusia 23 tahun dan anaknya hanya kerana tidurnya terganggu oleh tangisan kanak-kanak itu di rumah mereka di Kampung Membakut Jaya di sini.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, suspek turut mengugut mahu bunuh dan menggantung isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:24 PM