GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang operator kilang plastik yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu berkaitan tempat kerja, Kluster Industri KKIP Selatan di kawasan perindustrian di Kota Kinabalu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah seorang lelaki berusia 20 tahun yang bertugas sebagai operator kilang disahkan positif Covid-19 di

Family Care Clinic Sepanggar pada 12 Julai selepas bergejala pada 9 Julai lalu.

"Daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di daerah Kota Kinabalu, lapan kes dikesan positif termasuk enam kes baharu pada hari ini.

"Manakala, 32 sampel negatif, sementara lima kes masih menunggu keputusan ujian saringan. Selain itu, empat lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Masidi berkata, Sabah turut mencatatkan satu lagi kluster baharu di Beluran iaitu Kluster Sawit Lung membabitkan pekerja ladang bukan warganegara dipercayai berpunca dari pematuahan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah.

"Kes indeks adalah lelaki bukan warganegara berusia 35 tahun bergejala sejak 12 Julai sebelum disahkan positif dalam saringan masuk ke ladang pada 14 Julai lepas.

"Pada hari sama, tiga lagi kes positif dengan kaitan epidemiologi di tempat kerja.

"Daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif membabitkan rakan sekerja dan ahli keluarga sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah 474 kes, menjadikan jumlah kumulatif 76,927 kes dan satu kes kematian di Beaufort.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital 311 menjadikan jumlah kumulatif 72,059 orang.

"Seramai 3,597 pesakit masih menerima rawatan iaitu 526 orang di hospital, 2,032 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, manakala 1,030 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 9:39 PM