PEGAWAI KPDNHEP membuat pemeriksaan di pasar awam. Foto Ihsan KPDNHEP Selangor
PEGAWAI KPDNHEP membuat pemeriksaan di pasar awam. Foto Ihsan KPDNHEP Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 365 premis diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bagi pemantauan harga ayam serta telur bermula 8 hingga 25 November lalu.

Pemeriksaan berkenaan dilaksanakan pegawai penguatkuasa serta pegawai pemantau harga dari enam cawangan KPDNHEP negeri ini di pelbagai premis perniagaan termasuk pasar awam, pasar basah, kedai runcit serta pasaraya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata menerusi pemeriksaan itu sebanyak 57 notis Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan untuk dapatkan justifikasi harga jual runcit.

Katanya, sebanyak tujuh kes dihasilkan daripada notis berkenaan iaitu kesalahan mengambil untung secara berlebihan (mencatut) mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 4 AKHAP 2011.

"Pemeriksaan mendapati harga ayam standard dijual antara RM9.50 hingga RM10 bagi satu kilogram (kg) manakala telur ayam gred C dijual antara RM0.32 hingga RM0.45 sen sebiji.

"Harga menunjukkan pergerakan seiring dengan kenaikan kos serta faktor perubahan cuaca. Bagaimanapun, prestasi pergerakan harga ayam dan telur ayam keseluruhannya memuaskan dan bekalan kedua-dua item ini pada tahap yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, KPDNHEP Selangor juga turut melaksanakan pemeriksaan berfokus terhadap item sayur-sayuran yang turut menunjukkan peningkatan harga sejak kebelakangan ini.

Katanya, terdapat 10 jenis sayur yang dipantau iaitu kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis tempatan, kubis cina, cili merah minyak, cili merah kulai dan cili hijau.

"Berdasarkan pemantauan didapati harga runcit bagi jenis sayur yang diperiksa berada pada tahap memuaskan dan memerlukan pemantauan berterusan kerana didapati terdapat kenaikan yang minimum dan bersifat selektif hanya kepada beberapa jenis sayur tertentu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:30 PM