Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini disamping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, skim itu akan berkuatkuasa mulai 7 Disember hingga 31 Disember hadapan membabitkan kawalan harga ke atas barangan tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.

"Barangan terbabit adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C.

"Juga kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan Timun," katanya susulan pemantauan penguatkuasaan di Gombak tadi.

Azman berkata, senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

PENGUATKUASAAN oleh KPDNHEP Selangor di pasar sekitar Gombak. FOTO Ihsan KPDNHEP Selangor
PENGUATKUASAAN oleh KPDNHEP Selangor di pasar sekitar Gombak. FOTO Ihsan KPDNHEP Selangor

"Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas di atas kegagalan mematuhi skim ini dan juga bagi barang-barang keperluan pengguna lain.

"Penguat kuasa KPDNHEP juga akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

"Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika," katanya.

Pada masa sama katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Kementerian turut mempertingkatkan pemantuan harga melalui pegawai pemantau harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:29 PM