P Krishna Rao menunjukkan kotak barangan keperluan yang disumbangkan kepada penduduk. FOTO Rosman Shamsudin
P Krishna Rao menunjukkan kotak barangan keperluan yang disumbangkan kepada penduduk. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Bagi menghargai pelanggan yang banyak memberi sokongan terhadap kerjayanya, seorang pemborong barangan runcit tampil membantu penduduk demi kelangsungan hidup.

P Krishna Rao, menyumbang 821 kotak barangan keperluan asas kepada 821 keluarga yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Trolak Utara di sini.

Krishna Rao berkata, 27 kotak lagi disumbangkan kepada 27 keluarga di Felda Besout 5.

"Kejayaan dalam kerjaya yang saya ceburi sebagai pemborong barang runcit adalah hasil sokongan penduduk setempat selama ini.

"Sebagai menghargai sokongan penduduk, terutama mereka yang sedang mengalami kesukaran dalam kehidupan, saya tampil untuk membantu meringankan beban mereka," katanya ditemui.

Kotak barangan keperluan asas kepada warga Felda Trolak Utara diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz, untuk diagihkan.

Manakala bagi penduduk Felda Besout 5, sumbangan itu diserahkan kepada pihak Felda sebelum diagihkan.

Krishna Rao berkata, sumbangan beliau terlalu kecil berbanding sokongan penduduk kepada perniagaannya selama ini.

"Hidup kita lebih bermakna jika hasil keuntungan perniagaan yang kita ceburi itu dikongsi dengan pihak yang memerlukan.

"Kita tidak akan rugi apa-apa jika berbuat demikian malah saya yakin, dengan apa yang saya lakukan, ia akan memberi kesan positif pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 1:35 PM