DR Ronald Kiandee (tengah) meninjau pasar ikan dan jeti Kampung Pasir Putih. FOTO Mohd Adam Arinin
DR Ronald Kiandee (tengah) meninjau pasar ikan dan jeti Kampung Pasir Putih. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah

Putatan: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengeluarkan lebih 100,000 surat kebenaran kepada petani, penternak dan nelayan di seluruh negara untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kebenaran itu adalah untuk memastikan pengeluaran makanan seperti hasil perikanan, penternakan dan pertanian tidak terjejas.

Katanya, surat yang dikeluarkan kementeriannya bagi aktiviti pengeluaran makanan bukan formal, manakala surat kebenaran bagi aktiviti berkaitan industri agromakanan pula daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Jumlah surat dikeluarkan ini merangkumi sektor pengeluaran makanan bukan formal yang membabitkan nelayan, petani dan penternak," katanya kepada pemberita selepas meninjau Jeti Nelayan Kampung Pasir Putih dan menyerahkan bakul makanan kepada 100 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Ronald berkata, meskipun mempunyai surat kebenaran beroperasi, pekerja sektor itu tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, mengenai pengeluaran hasil perikanan, Ahli Parlimen Beluran itu berkata, bekalan ikan untuk negara masih mencukupi dan stabil meskipun berdepan cabaran.

"Bekalan ikan bagi tahun ini di seluruh negara dijangka kekal stabil dengan purata 169,000 tan metrik sebulan, berbanding keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan," katanya.

Katanya, di Sabah sahaja pendaratan ikan dari Januari hingga Jun lalu mencecah sebanyak 107,000 tan metrik dengan nilai RM643 juta.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM4.32 juta melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sabah pada tahun ini untuk melaksanakan program membaik pulih rumah nelayan, menaik taraf pasar, membina pusat pengumpulan dan pengedaran ikan selain membina dan membaik pulih jeti nelayan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 12:25 PM