JETI Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting, Kuantan.
JETI Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting, Kuantan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang tidak dibina di kawasan utama pengeluaran ikan khususnya di Sabah dan Perak Selatan menjadi antara faktor prestasi pendaratan ikan yang rendah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2, hal itu berikutan wujudnya kompleks dan jeti swasta sedia ada selain isu pemilikan tanah negeri oleh LKIM.

Laporan yang menyebut maklum balas daripada LKIM itu turut mendapati, kompleks berkenaan juga menghadapi masalah mendapan lumpur yang serius dan tidak sesuai untuk pendaratan ikan.

Menurut laporan berkenaan, kuantiti dan nilai pendaratan ikan laut di 41 kompleks LKIM dari tahun 2012 hingga 2016 didapati masih rendah iaitu sebanyak 1.23 juta tan metrik yang bernilai RM3.495 bilion.

“Berbanding pendaratan di seluruh negara, jumlah keseluruhannya adalah 7.47 juta tan metrik bernilai RM44.601 bilion,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, laporan audit yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam mendapati kuantiti pendaratan ikan berbanding kapasitinya di enam daripada 41 kompleks sudah mencapai 105.6 peratus hingga 365.8 peratus.

Enam kompleks berkenaan ialah Kompleks Perikanan Lumut di Perak, Geting (Kelantan), Kuala Muda (Kedah), Kuantan (Pahang) dan Teluk Bahang (Pulau Pinang).

“Antara faktor pencapaian melebihi kapasiti ini disebabkan wujudnya kerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang mengarahkan atau mewajibkan semua nelayan di sekitar kawasan berkenaan mendaratkan hasil penangkapan ikan di kompleks perikanan LKIM,” menurut laporan itu.

Sementara itu, terdapat tujuh kompleks tidak digunakan sepenuhnya manakala 254 kemudahan bernilai RM1.15 juta di 10 kompleks dan 48 peralatan bernilai RM2.84 juta di kompleks berkenaan tidak digunakan.

Justeru, Jabatan Audit Negara mencadangkan beberapa syor antaranya LKIM dan Jabatan Perikanan Malaysia perlu memperkukuhkan keterlibatan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa dalam meningkatkan kerjasama agar lebih ramai nelayan mendaratkan ikan di kompleks LKIM.

LKIM juga perlu mengkaji keperluan untuk meningkatkan tahap saling kendali dan kesediaan kompleks, kemudahan dan peralatan agar ia dapat digunakan secara optimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 8:14 AM