Barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan lima lelaki dipercayai penagih dadah termasuk seorang pengedar dalam serbuan di lokasi berbeza bermula Sabtu hingga hari ini di sekitar daerah Perak Tengah, di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan seorang penganggur berusia 30 tahun di sebuah rumah di taman perumahan Bandar Seri Iskandar pada 1.30 pagi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui sepaket plastik lut sinar dipercayai methamphetamine seberat 1.12 gram di bilik tidur suspek.

"Ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah namun dia tiada rekod lampau dan ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) ADB 1952," katanya.

Mohamad Zainal berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai penagih dan pengedar ditahan di kebun sawit di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan pada 3.05 petang, semalam.

Katanya, polis merampas lima paket plastik lut sinar dipercayai heroin seberat 29.74 gram dan sepaket plastik lut sinar dipercayai methampetamine seberat 0.16 gram serta wang tunai RM119 yang ditemui di dalam beg silang suspek.

"Kita percaya suspek yang berkerja sebagai buruh itu mensasarkan pelanggan di sekitar Bota dan siasatan mendapati lelaki terbabit baru sebulan menjalankan kegiatan itu namun sudah lama menagih.

"Suspek juga mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah dan ditahan mengikut Seksyen 39(B) ADB dan Seksyen 15(1).

"Pada hari sama juga kami turut menahan seorang penganggur berusia 38 tahun di tepi jalan di Kampung Bakar Arang, Jejawi pada 6.30 petang dan merampas satu tiub straw dipercayai heroin seberat 0.22 gram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam pada itu pihaknya menahan dua lelaki berusia 44 dan 45 tahun secara berasingan kerana memiliki dadah dipercayai heroin masing-masing seberat 0.34 gram dan 0.22 gram, pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 3:15 PM