V.Easwaran  menunjukkan keputusan SPM diperolehnya. FOTO Ihsan V Easwaran
V.Easwaran menunjukkan keputusan SPM diperolehnya. FOTO Ihsan V Easwaran
Redzuan Muharam


Subang Jaya: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 ini membuktikan dirinya juga mampu cemerlang bagi subjek Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, biarpun tiada guru bimbingan dan calon tunggal sekolahnya yang mengambil subjek itu.

V Easwaran, 18, memperoleh A+ bagi subjek itu selain Sejarah dan Matematik, manakala A bagi Bahasa Melayu dan Biologi; serta masing-masing A- untuk Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Kimia dan Bahasa Tamil.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang itu kerana Tasawwur Islam baginya adalah subjek sukar dan mencabar buatnya kerana terpaksa belajar sendiri serta dibantu ustazah yang dikenali menerusi Youtube.

"Saya hanya sempat menduduki peperiksaan percubaan bagi empat subjek saja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik sebelum pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi, jangkaan saya untuk keputusan SPM adalah 50-50 dan Tasawwur Islam antara subjek yang mencabar buat saya.

"Ia kerana saya satu-satunya calon tunggal yang menduduki subjek itu di sekolah dan tiada guru untuk mengajar daripada awal iaitu sejak tingkatan empat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Easwaran berkata, dia belajar Tasawwur Islam dengan inisiatifnya sendiri secara rujukan modul diberikan, bahan daripada Internet dan bertanya guru serta rakan sekolah.

Katanya, bantuan Ustazah Nani Suraya Abdul Karim yang dikenali menerusi saluran Youtube sangat membantunya untuk memahami subjek itu, selain gurunya, Asraf Wazir yang rajin menjawab pertanyaannya.

"Ada modul disediakan bagi Tasawwur Islam namun ia tidak memadai kerana tiada guru yang mengajar saya malah rakan Muslim juga tidak mengambil subjek itu.

"Jadi, saya perlu berusaha sendiri. Mujurlah Cikgu Asraf sudi menjawab pertanyaan saya walaupun beliau mengajar subjek lain, selain itu saya banyak bertanya Ustazah Nani Suraya.

"Saya juga bertanya rakan, Ainun Syazana Yahaya dari Perak yang turut mengambil subjek Tasawwur Islam terutama jika ada perkataan dalam Bahasa Arab yang tidak difahami maksudnya," katanya yang memberitahu gemar menonton rancangan keagamaan seperti Tanyalah Ustaz, Halaqah dan Jejak Rasul bagi mendalami ajaran Islam.

Menyifatkan pengorbanannya belajar berbaloi dengan keputusan cemerlang itu dan dia merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan menjadi pakar buah pinggang.

Easwaran berkata, tiada rahsia khusus untuk berjaya namun dia berpegang kepada kesungguhan dan semangat untuk maju, disusuli restu ibunya, R Thanam, 45.

"Ibu sering menemani saya mengulangkaji pelajaran. Saya mengambil kelas tuisyen bagi subjek sukar seperti Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi pada 7 malam hingga 10 malam.

"Kemudian berehat dan sambung belajar sehingga jam 3 atau 4 pagi. Biasanya saya tidur dalam dua jam saja. Memang penat tapi perlu berkorban untuk keputusan yang cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:47 PM