EASWARAN cemerlang dalam SPM 2020.
EASWARAN cemerlang dalam SPM 2020.
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM Jejak Rasul, Halaqah dan Tanyalah Ustaz yang ditayangkan di TV3 dan TV9 menjadi rujukan remaja, V Easwaran, 18, hingga timbul keinginan mengambil mata pelajaran Tasawwur Islam pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 itu turut mengharumkan nama sekolah apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A termasuk A+ bagi subjek Tassawur Islam.

Easwaran yang juga menjadi calon tunggal bagi subjek Tassawur Islam di sekolahnya itu mengaku menjadikan pengacara Jejak Rasul, Ahmad Fedtri Yahya sebagai idola.

Menurut Easwaran, dia tidak pernah ketinggalan menonton program Jejak Rasul setiap kali tibanya Ramadan.

"Saya belajar di sekolah rendah aliran Tamil. Jadi, penggunaan bahasa Melayu terhad. Kebetulan rumah kami hanya ada saluran TV utama sahaja. Jadi, bagi menguasai bahasa Melayu saya banyak menonton program TV3.

"Dari situlah saya berjaya mengembangkan penggunaan bahasa Melayu sehingga berjaya memperoleh A dalam peperiksaan. Jika ada perkataan yang kurang difahami, saya akan catat dan cari maknanya," katanya.

Menariknya, Easwaran turut dipertemukan dengan Ahmad Fedtri pada sesi temu ramah diatur stesen TV berkenaan.

"Saya juga rajin menonton siaran ulangan Jejak Rasul pada sebelah malam. Ketika itu, saya akan bangun untuk mengulang kaji pelajaran dan bersahur. Saya sangat mengagumi teknik sinematografi dan cara penyampaian Ahmad Fedtri dalam program Jejak Rasul," katanya.

Easwaran yang bercita-cita menjadi doktor pakar buah pinggang berkata, langkah memilih subjek Tasawwur Islam cukup mencabar berikutan tiada guru pakar subjek itu di sekolahnya.

Jalan terbaik adalah dia belajar menerusi YouTube untuk mempelajari subjek diambil sebelum bertemu seorang guru melalui laman video itu yang banyak membantunya memahami Tasawwur Islam.

"Bagi saya, bahagian paling susah adalah perundangan Islam dan penghakiman kerana banyak fakta perlu dihafal," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fedtri berkata, dia tidak tahu Easwaran mengambil subjek Tassawur Islam sehingga remaja itu berkongsi keputusan SPM melalui mesej langsung (DM) yang dilayangkan di Instagram (IG).

"Saya mengenali Easwaran sejak program Jejak Rasul, tahun lalu. Saya perasan setiap kali menganjurkan kuiz, dia pasti tidak ketinggalan turut serta.

"Pada mulanya, saya menyangka nama yang digunakan hanyalah samaran, tetapi selepas diselidik, ia milik remaja berbangsa India.

"Saya kagum kerana setiap kali menghantar mesej langsung, dia akan menggunakan bahasa Melayu yang sangat tertib seperti karangan," katanya.

CIAPAN yang dikongsi Fedtri di Twitter.
CIAPAN yang dikongsi Fedtri di Twitter.

Pada masa sama, Ahmad Fedtri mengaku sering menerima mesej peribadi atau DM daripada pengikut laman sosial itu.

"Ada mesej dibalas dan ada yang tidak, namun saya tertarik untuk membalas mesej Easwaran kerana minatnya untuk mengetahui mengenai Islam.

"Bagi saya, ia adalah tanggungjawab untuk membantu orang bukan Islam memahami agama kita," katanya.

Ahmad Fedtri berkata, sepanjang berkomunikasi, Easwaran bagaimanapun tidak pernah memberitahu hasratnya untuk mengambil subjek Tasawwur Islam pada SPM.

"Saya hanya tahu selepas dia berkongsi keputusan SPM, baru-baru ini. Saya kagum apabila menyedari Easwaran memperoleh A+ dalam subjek itu. Bagi saya, ia bukan mata pelajaran mudah kerana saya pernah mengambil subjek berkenaan ketika SPM.

"Pelajar perlu benar-benar memahami agama Islam barulah mereka tahu konsep menjawab soalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:20 AM