WANI Kayrie ketika mengambil keputusan SPM 2017 di sekolahnya. FOTO Instagram Wani Kayrie
WANI Kayrie ketika mengambil keputusan SPM 2017 di sekolahnya. FOTO Instagram Wani Kayrie
Najiy Jefri


PENYANYI, Wani Kayrie meraih keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pagi ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya daripada aliran seni itu memperoleh keputusan A dalam tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Information and Communication Technology (ICT), Tasawwur Islam dan B dalam mata pelajaran Matematik serta C+ bagi subjek Akaun.

Wany atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, berkata, dia bersyukur dengan keputusan yang diterima walaupun tidak mencapai sasaran untuk mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Alhamdulillah keputusan SPM saya baik tapi tidak mencapai sasaran untuk mendapat A dalam semua mata pelajaran yang saya ambil.

“Bagaimanapun apabila cikgu mengumumkan saya mendapat keputusan cemerlang apabila meraih lebih 5 A , saya sudah berasa lega dan syukur.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga, guru-guru, syarikat pengurusan serta peminat yang sentiasa mendoakan saya mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Menurut Wani, meskipun sudah mendapat tawaran belajar di universiti swasta, dia belum terfikir untuk melanjutkan pelajaran.

“Tahun ini saya mahu fokus untuk kerjaya seni nyanyian terlebih dulu. Saya mahu membina nama yang kukuh sebagai penyanyi selepas memberi sepenuh komitmen terhadap pelajaran beberapa tahun lalu.

“Lagipun saya bakal mengikuti beberapa pertandingan di luar negara tahun ini membuatkan saya tidak boleh melanjutkan pelajaran.

“Insya-Allah tahun depan saya bercadang untuk mengikuti kursus dalam bidang perakaunan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 12:37 PM