FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) supaya masjid dibuka kepada jemaah yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia berikutan individu lengkap dua dos suntikan vaksin berisiko lebih rendah daripada segi jangkitan wabak berkenaan.

"Dalam mesyuarat petang tadi, kita membuat cadangan supaya masjid dibuka kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin tanpa dikenakan had bilangan jemaah.

"Namun, ia masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) dari segi penjarakan fizikal dan sebagainya.

"Perkara ini akan diangkat kepada Maik sebelum perkara itu diputuskan secara rasmi," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini.

Pada masa sama, Dr Izani berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membeli vaksin Covid-19 sekiranya dirasakan perlu bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), peringkat negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah vaksin berkenaan bergantung kepada kewangan kerajaan negeri.

"Kita berdepan sedikit masalah daripada segi bekalan vaksin. Sepatutnya kita menerima 108,000 dos vaksin sebulan, namun dikurangkan kepada 27,000 dos vaksin.

"Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sudah menaikkan jumlah dos vaksin berkenaan daripada 27,000 dos kepada 60,000 dos vaksin sebulan.

"Untuk mempercepatkan suntikan vaksin, sekiranya dirasakan perlu membelinya, kita akan membelinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 11:22 PM