Orang awam menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Aizuddin Saad
Orang awam menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Aizuddin Saad
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan memohon supaya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) tidak meminggirkan negeri itu dari segi pengagihan bekalan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, ia berikutan Kelantan kini antara tiga negeri tercorot daripada segi suntikan vaksin bagi dos kedua berikutan bekalan diterima tidak mencukupi.

Katanya, Kelantan tercorot bukan disebabkan penduduk menolak vaksin atau tidak mendaftar menerusi MySejahtera, sebaliknya berdepan kekangan bekalan.

"Kita memohon untuk mendapatkan satu juta dos vaksin sebulan namun setakat ini kita hanya menerima 500,000 dos vaksin.

"Untuk sehari kita hanya mampu memberi vaksin 25,000 dos sahaja, itupun hanya sehingga jam 2 petang sahaja vaksin itu sudah habis. Jadi, kita berharap Mosti mendengar rintihan kami sekali gus memenuhi permintaan Kelantan.

"Jangan meletakkan Kelantan negeri yang terkebelakang dan meminggirkan kami dari segi agihan vaksin memandangkan kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat. Sedangkan kerajaan mengumumkan kelonggaran beberapa sektor ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, pihaknya sudah membuat rayuan berhubung permohonan bekalan vaksin berkenaan dan pihak Mosti hanya mengiyakan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini Kelantan tidak mendapat bekalan vaksin yang dimohon dan dimaklumkan hanya 700,000 dos vaksin akan diberikan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, peningkatan kes di Kelantan sehingga mencecah empat angka disebabkan kegagalan rakyat Kelantan mematuhi prosedur operansi standard (SOP) ditetapkan.

"Pematuhan SOP dalam kalangan penduduk Kelantan sangat lemah sedangkan sudah hampir dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.

"Kebanyakan di pasar, orang ramai masih tidak memakai pelitup muka selain ada yang hanya meletakkan didagu. Ini yang menyebabkan kita kesal dengan sikap ditunjukkan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:32 PM