Orang awam yang sudah lengkap dua dos vaksin, ‘dine-in’ di premis makanan. FOTO GHAZALI KORI
Orang awam yang sudah lengkap dua dos vaksin, ‘dine-in’ di premis makanan. FOTO GHAZALI KORI
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Hanya peniaga dan pekerja kedai makan yang lengkap dua dos vaksin dibenar menawarkan operasi 'dine-in' di kedai makan di Kelantan.

Malah, remaja berusia 17 tahun ke bawah tidak dibenarkan makan di premis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini.

"Kita tidak boleh bercanggah dengan keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun kita memutuskan hanya peniaga dan pekerja yang lengkap vaksin sahaja dibenar menawarkan operasi makan di kedai.

"Bagi mereka yang belum lengkap, premis berkenaan hanya dibenarkan untuk bungkus sahaja.

"Untuk itu, kita akan percepatkan proses suntikan vaksin dan sudah menghantar senarai peniaga di Kelantan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk tujuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat khas JKKN yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, pihaknya turut meminta golongan remaja berusia 17 tahun ke bawah supaya lebih bersabar untuk sementara waktu kerana golongan berkenaan masih tidak dibenarkan makan di kedai.

"Kita bimbang dengan peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini. Apa yang diputuskan kerajaan negeri adalah sebagai usaha untuk melandaikan kes di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:07 PM