Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersedia untuk membuka masjid sekiranya kes jangkitan semasa Covid-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.

Ketua Pegawai Pembangunan Maik, Mohd Azman Ghazali berkata, setakat ini 80 peratus daripada 1,800 pegawai masjid di seluruh negeri sudah menerima suntikan vaksin lengkap.

Katanya, baki 20 peratus lagi pegawai masjid yang belum lengkap menerima suntikan vaksin dijangka selesai akhir Ogos ini.

"Bagaimanapun setakat hanya empat jemaah sahaja yang kekal dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), imam masjid dan Pegawai Pematuhan SOP yang dilantik Maik akan melakukan pemantauan di 604 masjid negeri, jajahan dan daerah dari semasa ke semasa.

"Langkah yang diambil ini perlu diambil bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus mengelakkan tercetus kluster masjid berikutan kes harian Covid-19 di Kelantan semakin membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Prihatin Maik Bersama badan bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan anjuran bersama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di perkarangan pejabat Maik di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Azman menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada 58 peniaga kecil di daerah Kota Bharu yang terjejas pendapatan secara pandu lalu.

Turut hadir sama, Pegawai Agihan Zakat Maik, Mahamad Azmi Zakaria dan Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, selain itu orang ramai yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diberi keutamaan untuk menunaikan solat sama ada solat fardu dan solat Jumaat di masjid apabila masjid dibuka nanti.

"Insya-Allah apabila semua pihak terutama pegawai masjid selesai menerima suntikan dua dos maka kita akan buka masjid sepenuhnya mengikut kapisiti dan berdasarkan SOP yang ditetapkan.

"Dalam keadaan sekarang, nyawa serta keselamatan adalah keutamaan kira, jadi saya berharap semua bersabar dan ambil peluang untuk beribadah di rumah buat sementara waktu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan hanya membuka masjid untuk menerima lebih ramai jemaah sekiranya kes Covid-19 di negeri ini menurun dan pemberian vaksin terhadap penduduk meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meminta pembukaan masjid untuk lebih ramai jemaah ditangguhkan berikutan kes di negeri itu masih meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 1:07 PM