Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Parit Dalam, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 53. FOTO  NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Parit Dalam, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 53. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Peniaga pasar malam di Kelantan semakin terdesak apabila hilang sumber pendapatan ketika tempoh pandemik Covid-19.

Mereka mendakwa dalam tempoh itu, hanya beberapa bulan sahaja dibenarkan berniaga sebelum, tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan itu menyebabkan kehidupan mereka terhimpit dengan ada peniaga sukar menanggung kos sewa rumah selain ansuran kereta serta keperluan harian keluarga.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Parit Dalam, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 53, berkata, seramai 160 peniaga pasar malam itu hilang punca pendapatan sejak tidak beroperasi, April lalu.

Katanya, sebelum ini beberapa kali pada tahun lalu mereka membuka perniagaan tetapi dalam sekatan.

"Jika sebelum ini peniaga mampu memperoleh pendapatan hampir RM2,000 sebulan, namun kini mereka hilang pendapatan kerana tidak dibenarkan membuka gerai.

"Saya sendiri yang berniaga baju juga turut terkena tempias dan bergantung kepada anak yang sudah bekerja untuk menanggung keperluan harian," katanya yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam Panji di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya sangat berharap kerajaan negeri mengambil inisiatif membantu mereka termasuk berunding dengan peniaga untuk membolehkan mereka beroperasi.

"Sampai bila kami perlu menunggu sedangkan banyak kos yang perlu ditanggung seperti bil elektrik dan air selain keperluan harian di rumah. Kami tidak mahu hanya duduk menunggu bantuan daripada kerajaan negeri.

"Dengan membenarkan kami beroperasi mengikut kaedah yang bersesuaian, sekurang-kurangnya ia mampu membantu kami mencari rezeki walaupun hanya mendapat pendapatan sedikit," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya akan mempercepatkan pemberian vaksin kepada peniaga di Kelantan sebagai persediaan untuk negeri itu beralih kepada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, pihaknya sudah mengetengahkan hampir 3,000 nama peniaga di Kelantan kepada Jabatan Kesihatan untuk menerima vaksin Covid-19.

"Apabila lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga nanti, sekurang-kurangnya mereka sudah lengkap dua dos suntikan vaksin memandangkan keadaan mereka yang terdedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:50 PM