GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan berharap Kerajaan Pusat tidak mengurangkan bekalan vaksin yang sudah diputuskan untuk negeri berkenaan supaya proses pemberian vaksin tidak terganggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kebimbangan itu disuarakan susulan pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega bakal dibuka di Lembah Klang.

"Kita mengucapkan tahniah kepada Khairy

Jamaluddin yang mengambil inisiatif pembukaan PPV berskala mega. Namun pada masa sama, kita berharap bekalan vaksin untuk negeri lain termasuk Kelantan tidak dikurangkan.

"Pada Jun ini, Kelantan bakal menerima 200,000 dos vaksin termasuk 120,000 dos Sinovac dan selebihnya adalah Pfizer menerusi empat peringkat.

"Justeru, kita berharap bekalan itu tidak dipotong kerana pelbagai program sudah diatur dalam usaha mempercepatkan proses suntikan vaksin kepada penduduk di Kelantan dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Izani berkata, pihaknya merancang pelbagai program termasuk suntikan vaksin pandu lalu dan turun ke kampung bagi memberi pendedahan tentang vaksin selepas mendapat maklumat akan menerima 200,000 dos vaksin.

"Jika sebelum ini kita bimbang untuk membuat pelbagai promosi dikhuatiri bekalan vaksin tidak cukup, menyebabkan rakyat marah.

"Namun dengan dijanjikan 200,000 dos sepanjang Jun, kita lebih bersemangat untuk turun padang dan akan menggunakan pelbagai kaedah supaya rakyat Kelantan menerima vaksin," katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 110,000 penduduk di Kelantan sudah menerima vaksin untuk dos pertama, manakala 60,000 penduduk sudah selesai menerima dua dos vaksin.

"Suntikan membabitkan penduduk di Kelantan masih rendah iaitu tidak sampai lima peratus. Pada masa sama, mereka yang berdaftar untuk menerima suntikan vaksin juga masih rendah iaitu 30 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 3:01 PM