RUZANNA bersama hamper yang digubahnya untuk dihantar kepada ibu bapa sebagai tanda ingatan daripada anak yang tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri. FOTO Ihsan Ruzanna Razali.
RUZANNA bersama hamper yang digubahnya untuk dihantar kepada ibu bapa sebagai tanda ingatan daripada anak yang tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri. FOTO Ihsan Ruzanna Razali.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Meskipun tidak mampu menyambut Aidilfitri dengan insan tersayang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun bukan bermakna ibu bapa di kampung terus dilupakan.

Banyak pendekatan diambil anak-anak di perantauan untuk terus menggembirakan ibu bapa walaupun tidak mampu bersua muka termasuk membuat kejutan dengan menghadiahkan hamper raya dan gubahan duit.

Bagi pengusaha hamper Orkedbyynalee, Ruzanna Razali, 36, yang beroperasi di Salor, di sini, dia tidak menyangka sambutan menggalakkan diterima sejak tahun lalu sehingga Aidilfitri tahun ini.

Katanya, ia bermula tahun lalu apabila perantau tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

"Masing-masing mahu memberi kejutan kepada ibu bapa di kampung. Ada yang menempah supaya saya menghantar gubahan duit, gubahan bunga serta hamper.

"Namun, tahun ini sambutan diterima lebih menggalakkan berbanding tahun lalu sehingga saya tidak menang tangan untuk menggubahnya.

"Tempahan diterima daripada pelanggan dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang serta Kedah," katanya ketika dihubungi.

Ruzanna berkata, lokasi paling jauh yang diterima untuk dihantar kepada keluarga tersayang adalah di Tok Bali, Pasir Puteh.

Mengakui lokasi berkenaan agak jauh, namun ibu kepada empat cahaya mata itu tetap menerima tempahan itu kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan.

"Setiap kali saya menghantar kepada ibu bapa pelanggan, ternyata mereka begitu terharu dengan ada yang tidak mampu berkata-kata dan hanya mengalirkan air mata kerana terlalu gembira menerima kejutan daripada anak-anak.

"Itu detik sayu setiap kali menghantar tempahan gubahan duit atau hamper raya kepada pelanggan. Ketika itu saya sendiri rasa sebak sehingga mengalirkan air mata.

"Untuk Ramadan kali ini, ratusan tempahan diterima dan saya terpaksa mengehadkannya kerana tidak mampu menyiapkannya jika tempahan terlalu banyak," katanya.

Menurutnya, harga setiap hamper atau gubahan serendah RM35 sehingga RM350 bergantung kepada saiz dan kandungan hamper berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 2:07 PM