SETIAUSAHA Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menunjukkan minyak botol lima kilogram (kg) yang naik harga sejak dua hari lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SETIAUSAHA Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menunjukkan minyak botol lima kilogram (kg) yang naik harga sejak dua hari lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kenaikan harga minyak masak botol dua kilogram (kg) dan lima kg sejak dua hari lalu memberi kesan yang membebankan orang ramai.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di daerah ini mendapati harga minyak masak naik sekitar RM4 hingga RM7 sebotol berbanding harga sebelum ini.

Suri rumah, Eliana Ishak, 35, berkata disebabkan Kota Setar kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) maka ramai yang terpaksa duduk di rumah.

Katanya, disebabkan itu, penggunaan minyak masak bertambah kerana perlu memasak terutama mereka yang mempunyai anak ramai.

"Saya memang beli minyak botol besar kerana pergerakan terhad untuk keluar ketika ini dan kesukaran untuk membeli minyak masak paket.

"Tapi harga minyak masak botol sudah naik harga sehingga RM32 sebotol (5 kg) berbanding sebelum ini antara RM25 hingga RM28 sahaja sekali gus membebankan pengguna apatah lagi tidak bekerja dan hanya mengharapkan suami," katanya ketika ditemui di sebuah kedai runcit, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai berhubung peningkatan harga minyak masak botol di pasaran.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan pemantauan di pasar raya dan kedai runcit di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan mendapati harga minyak masak botol dua kg serta lima kg didapati naik mendadak sejak dua hari lalu.

"Kita mendapati berlaku kenaikan harga sekitar RM4 hingga RM5 untuk setiap botol lima kg, namun punca kenaikan harga masih belum dikenal pasti.

"Justeru, CAKE mengesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencari kaedah supaya kenaikkan bagi minyak masak botol ini tidak berulang.

"Pengguna kini terbeban dengan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan akibat penularan Covid-19, sedangkan minyak masak adalah barangan keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:59 PM