MOHD Ajib menyerahkan bubur lambuk kepada orang ramai di kawasan letak kereta Pusat Penjaja Selera Duta, hari ini. FOTO Ihsan Jawi.
MOHD Ajib menyerahkan bubur lambuk kepada orang ramai di kawasan letak kereta Pusat Penjaja Selera Duta, hari ini. FOTO Ihsan Jawi.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diedarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada orang ramai di kawasan tempat letak kereta berhadapan Pusat Penjaja Selera Duta, hari ini.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan itu diadakan secara pandu lalu bermula 4 April hingga 15 April 2022 mulai jam 3 petang.

Katanya, selain edaran bubur lambuk, Jawi dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut mengedarkan 123,600 pek juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang bulan Ramadan melalui program Dapur It'am Ramadan 1443H.

"Inisiatif itu berkonsepkan agihan makanan bermasak kepada asnaf, B40 dan golongan yang memerlukan setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

"Pelbagai menu masakan disediakan secara bergotong-royong melalui 70 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan peruntukan berjumlah RM 1.23 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:40 PM