MOHD Ajib (tengah) menerima sumbangan daripada Lee Kim Yew hari ini.
MOHD Ajib (tengah) menerima sumbangan daripada Lee Kim Yew hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


SEBANYAK 11 inisiatif diambil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menyantuni orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini.

Dikenali dengan Inisiatif Wilayah Cakna, antaranya yang dijalankan ialah, Jawi Food Bank, Dapur It'am, Program Dakwah, Kelas Pengajian, Khidmat Nasihat dan Program Saudara Muslim.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, Jawi Food Bank adalah inisiatif berskala besar dengan kerjasama pelbagai rakan strategik serta semua 89 masjid, 111 surau Jumaat dan 554 surau di bawah kendalian jabatan itu.

Katanya, setakat ini lebih 120,000 agihan pek makanan diserahkan kepada mereka yang memerlukan dengan kos RM1.06 juta.

"Di dalam inisiatif ini kita menerima RM1.6 juta sumbangan masjid, surau dan surau Jumaat yang memberi manfaat kepada hampir 30,000 penerima.

"Tempoh PKP ini memberi rahmat kepada kami di Jawi kerana semua masjid bergabung untuk membantu orang ramai yang terkesan sejak Mac lalu," katanya yang turut menerima sumbangan daripada Pengasas Country Heights Holding, Tan Sri Lee Kim Yew, hari ini.

Sumbangan melalui Bantu-Bantu Malaysia berupa 1,000 pek makanan itu mengandungi beras, tepung gandum, minyak masa, gula dan pelitup muka yang akan diagihkan kepada asnaf.

Katanya, Jawi juga mengadakan majlis akad nikah secara sidang video kepada 26 pasangan di Wilayah Persekutuan dan ia berlangsung dengan lancar serta mengikut syariat Islam.

"Kita akan teruskan beramal dan berkhidmat kepada masyarakat. Dengan cara ini, kakitangan Jawi tidak hanya duduk di pejabat, sebaliknya turun padang bersama agensi kerajaan lain untuk membantu seramai mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:30 PM