Wakil Iman menyerahkan sumbangan kepada golognan memerlukan di Kuala Lumpur.
Wakil Iman menyerahkan sumbangan kepada golognan memerlukan di Kuala Lumpur.
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu jelas memberikan kesan besar terutama kepada golongan miskin bandar termasuk golongan asnaf dan gelandangan.

Menyedari derita dialami kebanyakan golongan warga kota, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) mengumpul dana selain menyediakan 7,500 pek makanan dan 5,000 bungkusan membabitkan pelbagai keperluan barangan dapur.

Presiden Iman Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, inisiatif dilakukan itu memberi manfaat kepada lebih 6,000 penerima dari pelbagai lapisan masyarakat yang mendapat manfaat melalui program bantuan dilaksanakan pihaknya sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pek makanan berkenaan diagihkan kepada warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan golongan gelandangan selain petugas barisan hadapan di sekitar ibu kota dan bandar di Selangor.

"Malah inisiatif iftar Ramadan dilakukan sebelum ini khusus untuk petugas barisan hadapan turut meringankan beban golongan wira negara itu.

"Pengorbanan petugas barisan hadapan menjalankan tugas tanpa mengira waktu selain dibebani dengan tanggungjawab melandaikan kes jangkitan Covid-19 besar ertinya kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, Iman di setiap negeri turut mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

"Program yang digalas Pergerakan Sayap Iman menjadi bukti bahawa golongan muda turut mampu menyumbang tenaga sekiranya diberi ruang dan peluang untuk turut sama berkorban demi negara.

"Keikhlasan tindakan, kewarasan pemikiran serta kebijaksanaan dalam pendekatan adalah amat penting dalam memastikan masyarakat yang susah dibantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 10:15 PM